Assalamualaikum...
Lama benar tidak memuat naik
status baharu ke laman blog ini. Status terakhir ialah
17 Oktober 2013, kira-kira dua tahun yang lepas. Kenapa ? Ya, aku sibuk, sibuk
dengan persediaan ke arah seorang pendidik, in shaa Allah. Alhamdulillah, aku
telah mengharungi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) selama empat
tahun setengah, dan baki program hanyalah setahun. Sepanjang program ini,
pelbagai pengalaman telah aku rasai dan lalui, ya, semuanya mendewasakan. Salah
satu pengisian program ini ialah praktikum yang diadakan secara tiga peringkat
bermula dengan Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3.
Alhamdulillah,
aku telah usai melalui Praktikum Fasa 1 pada bulan lima yang lepas. Bagi
pengalaman Praktikum Fasa 1 itu, aku tidak berkesempatan berkongsi apa-apa
menerusi medium ini, tetapi aku kira masih belum terlambat untuk menceritakan
sesuatu yang mungkin boleh dibaca dan diambil iktibar. Siapa yang pernah
belajar di kelas belakang ? Mungkin memiliki kawan-kawan, adik-beradik,
saudara-mara, atau sesiapa sahaja yang dikenali belajar di kelas belakang ?
Nah, ini perkongsian yang tidak seberapa, tetapi mungkin boleh dibaca dan
difikir-fikirkan.
Praktikum Fasa
1 yang membuka tirainya pada 12 April 2015 dan berakhir pada 7 April 2015
menjanjikan seribu satu rasa dan pengalaman kepada kami; guru-guru praktikum
semester lima. Memilih Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (4) sebagai medium
meraih ilmu dalam bidang perguruan nyata adalah satu pilihan yang tepat.
Persekitaran sekolah yang cukup indah, para pendidik yang peramah dan mesra,
ditambah dengan murid-murid yang dididik dengan cukup baik sama ada dari segi
jasmani, rohani dan intelek merupakan faktor penarik untuk kami kekal
berpraktikum di sini bagi fasa seterusnya. Walaupun tidak berstatus sekolah
kluster kecemerlangan atau sekolah harapan, dari segi pencapaian akademik dan
kokurikulum Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (4) membuktikan bahawa
murid-muridnya berada dalam level yang tersendiri.
Bercerita
mengenai pengalaman, saya kira pengalaman saya tidak jauh bezanya dengan
pengalaman guru-guru yang lain, tetapi ada nilai dan pengajaran yang ingin
disampaikan supaya kita semua sedar dan lebih prihatin terhadap hati dan
perasaan murid-murid. Selain mengajar secara tetap selama satu bulan untuk mata
pelajaran Bahasa Malaysia, selalunya kami akan diberi kelas ganti. Sejak
daripada menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), acap kali memasuki
kelas ganti, saya gemar untuk memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada
murid-murid, terutamanya jika kelas yang dimasuki berada dalam Tahap 2. Hal ini
kerana kebiasaannya, guru-guru mata pelajaran akan masuk dan mengajar seperti
biasa, jarang dalam kalangan mereka menyelitkan kata-kata motivasi ketika
menyampaikan isi pelajaran. Oleh hal yang demikian, peluang untuk memasuki
kelas ganti saya manfaatkan sepenuhnya untuk memberi kata-kata semangat dan
motivasi kepada mereka sebagai penguat usaha untuk memburu cita-cita.
Pada 16 April
2015, saya telah dimaklumkan supaya menggantikan masa guru mata pelajaran
Matematik di Kelas 5 Tekun yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab
tertentu. Masa kelas ganti iaitu lebih
kurang 30 minit (bermula pada jam 12.45 tengahari hingga 1.15 tengahari)
sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada saya dalam mengenal serta memahami
erti perasaan murid-murid yang berada dalam kelas belakang. Menginjakkan kaki
ke kelas 5 Tekun bertujuan untuk menggantikan guru yang tidak hadir, sama
seperti berada di dalam kelas-kelas yang lain sebelumnya. Walau bagaimanapun,
sedikit kelainan dapat dikesan. Selain bilangan murid yang agak sedikit
berbanding kelas-kelas lain, sebelum ini apabila mengajar mata pelajaran Bahasa
Malaysia atau masuk untuk kelas ganti, kebanyakkan murid-murid akan berpakaian
lebih daripada dua warna, contohnya warna coklat muda untuk pengawas sekolah,
warna coklat tua untuk pengawas makmal komputer, warna biru untuk pengawas
pusat sumber, vase berwarna biru tua untuk ketua kelas dan penolong ketua kelas
serta warna putih untuk murid-murid biasa. Berbeza daripada kelas-kelas lain
yang telah saya masuki, murid-murid kelas 5 Tekun berpakaian putih kesemuanya,
kecuali dua orang murid yang menjadi ketua dan penolong ketua kelas.
Setelah
dimaklumkan bahawa guru mata pelajaran Matematik mereka telah memberi latihan
untuk disiapkan, saya memberi masa dua puluh minit kepada mereka untuk
menyiapkan latihan yang diberi. Sepuluh minit yang terakhir saya manfaatkan
untuk mengenali mereka secara lebih dekat tanpa mengetahui bahawa kelas ini
adalah kelas yang paling belakang untuk Tahun 5 di Sekolah Kebangsaan Sultan
Ismail (4). Setelah semua murid-murid berdiri, terdetik di hati saya untuk
bertanyakan beberapa soalan. Seorang murid, Ammar namanya yang duduk di penjuru
paling hadapan sebelah kiri kelas telah menjadi murid yang pertama untuk
menjawab soalan saya. Lagaknya yang selalu tersenyum dan telah lama menyiapkan
latihan yang diberi menarik perhatian saya. Sesi soal jawab bermula antara
kami. “Apa perasaan kamu apabila ditempatkan di dalam kelas 5 Tekun ?” Tanya
saya bersahaja. Sambil tersengih-sengih, Ammar menjawab, “Sedih”. Senyuman
kekal terukir. Saya bertanyakan semula, “Kenapa sedih?” Dia masih tersengih.
Dalam nada ingin tahu, saya bertanya secara lebih lanjut. “Kenapa sedih?”
Tangan saya memegang tangannya. Tidak semena-mena, senyumannya terkubur,
sengihnya hilang, dan dia sekarang seorang kanak-kanak lelaki yang sugul,
matanya berair. Perasaan ingin tahu saya semakin mendalam. Kenapa dia menangis
? Soalan terlalu sukar untuk dijawab ? Atau ada sesuatu yang ditahan selama ini
dan tidak diluahkan ? Beberapa persoalan timbul dalam benak hati saya. Tanpa
sebab yang pasti, matanya kian berair. Soalan yang sama diulang. Murid-murid
yang lain hanya terdiam. Terkadang bercakap sesama mereka. “Kenapa sedih?”
Genggaman tangan saya eratkan. Saya merapatkan telinga ke mulut Ammar. “Sebab 5 Tekun bukan kelas
yang pandai.” Terdengar jawapan anak ini, membuatkan hati saya cukup luluh. Air
mata yang dikawal daripada gugur setelah bergelar dewasa, gugur juga pada saat
itu. Sekecil ini telah mempunyai perasaan tidak yakin pada diri sendiri
disebabkan pembahagian murid mengikut kepandaian dalam akademik semata-mata.
Beberapa saat diperlukan untuk mendapatkan kembali diri yang ‘hilang’. Ammar
kekal mengalirkan air mata. Saya pegang erat tangan Ammar. “Ammar, walaupun
kamu ditempatkan dalam kelas 5 Tekun, Cikgu nak kamu buktikan kepada diri kamu,
kepada keluarga kamu, kepada pihak sekolah dan kepada cikgu bahawa kamu tetap
boleh berjaya dalam peperiksaan dan dalam hidup. Jangan jadikan kelas ini
sebagai titik noktah untuk kamu daripada terus berusaha. Jangan mengalah.
Perjalanan hidup kamu masih jauh ! Saat itu, terdengar esakkan daripada
beberapa orang murid yang lain. Ammar terkulai dalam esakkannya. Sesekali
tangannya menyapu air mata yang kian mengalir. Saya berlakon kuat, air mata
yang mengalir disapu cermat. Suara yang sebak tidak dapat disembunyikan seperti
mana air mata yang mudah disapu. Setelah itu, seorang demi seorang murid-murid
kelas 5 Tekun menjawab soalan yang sama. Walaupun jawapan yang diberikan adalah
sedikit berlainan, konklusinya, mereka tidak mahu perasaan mereka diketahui
umum. Dari riak wajah mereka, sama seperti Ammar, mereka nampak sugul. Ada air
jernih dalam kelopak mata mereka. Secara kelas, dengan bersemangat, baki satu
minit yang terakhir bersama mereka, saya manfaatkan sehabis baik untuk
menyampaikan kata-kata semangat dan motivasi seperti mana cikgu-cikgu saya
telah lakukan sebelum ini. “Kelas 5 Tekun, walaupun kamu berada dalam kelas
ini, Cikgu tak nak kamu berhenti berusaha. Jangan jadikan kelas ini sebagai
penghalang untuk kamu berjaya. Buktikan kepada semua bahawa kamu juga boleh
berjaya. Usahalah sehabis baik, kamu punya peluang, kamu masih belum terlambat.
Fikirkan tentang ibu bapa kamu yang penat mencari rezeki untuk kamu boleh bersekolah,
tidak inginkah kamu membalas jasa mereka ? Tidak inginkah kamu membantu
mengubah kehidupan keluarga kamu ? Inginkah kamu kekal hidup sebegini
selama-lamanya ?” Keberanian yang entah dari mana menguatkan saya untuk terus
berkata-kata. Kebanyakan jawapan yang dilontarkan adalah “Tidak” menjadi bukti
bahawa mereka punya keinginan untuk berubah. Setelah loceng berbunyi, mereka
beransur keluar. Kelibat beberapa orang murid masih mengesat air mata. Saya
pula berusaha untuk menyembunyikan mata yang merah dan hidung yang mula berair
daripada diketahui rakan praktikum yang lain. “Semoga kamu semua berjaya
anak-anak muridku, fiddunya wal akhirah, di dunia dan di akhirat.” Bisik hati
kecil bermunajat kepada Ilahi.
Kesimpulannya,
walau apa pun kelas yang kita dapat, tanggungjawab sebagai guru patut
dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Mereka juga berhak mendapatkan pelajaran
yang sama seperti murid-murid kelas lain, serta berhak mendapat layanan yang
sama daripada semua guru. Jika positif yang anda tengok, maka positiflah
hasilnya. Begitu juga sebaliknya. Cuba bayangkan anak-anak kita berada di kelas
belakang, apa usaha yang akan kita lakukan untuk membantu mereka, maka
laksanakanlah usaha itu untuk murid-murid kelas belakang yang lain juga. Kepada
guru kelas belakang, tahniah !
![]() |
Mereka manusia biasa, usah asingkan mereka kerana sedikit kelemahan itu, bantulah mereka, seperti mana kita mahu dan telah dibantu. |
No comments:
Post a Comment